.

Cradle Menubuhkan Cradle Seed Ventures- Memfokuskan Pelaburan Modal Teroka



Sejak tahun lepas, Cradle Fund telah mula meneroka dalam melaburkan dana serta memegang ekuiti didalam startup yang dilaburkan. Malah pada minggu lepas Cradle bersama OSK Ventures telah membuat pelaburan untuk Sync dan MauKerja. Pada hari ini mereka mengumumkan satu lagi subsidiari mereka, iaitu Cradle Seed Ventures.
Cradle Seed Ventures merupakan subsidiari Cradle yang memfokuskan untuk pelaburan modal teroka ( Venture Capitalist). Berbanding dengan program Cradle sebelum ini seperti CIP 500 yang menawarkan geran RM500,000 tanpa sebarang pegangan ekuiti terhadap startup, Cradle Seed Ventures akan memegang ekuiti dengan lingkungan pelaburan tersedia USD 300,000 ( ~ RM 1 Juta) sehingga USD 1 Juta (~ RM 3.6 Juta ) untuk startup yang layak menerima pelaburan modal teroka mereka. 
Cradle Seed Ventures mempunyai dana sejumlah RM 40 juta dan mahu melabur untuk startup yang membangunkan perkara berkaitan ICT, perisian serta peralatan berkaitannya. Memandangkan dana pelaburannya buat masa ini diberikan oleh Kementerian Kewangan, Cradle Seed Ventures juga akan melabur untuk startup yang bergiat dalam bidang yang NKEA seperti industri kewangan, pelancongan, elektronik dan elektrikal, kesihatan dan lain-lain.
Startup yang dicari adalah mereka yang berada di tahap pra-Series A yang mencari dana dalam lingkungan USD 300,000 hingga USD 500,000, Series A yang memerlukan USD 500,000 hingga USD 3 juta dan Series B yang mencari dana lebih besar bermula USD 3 juta keatas. Cradle Seed Ventures akan memegang pegangan saham kecil dalam syarikat yang menerima pelaburan ini. 
Sekiranya anda berminat untuk memohon pelaburan modal teroka dari Cradle Seed Ventures, anda boleh mendapatkan lebih info mengenainya di laman web mereka atau hadir di acara-acara mereka bagi berhubung dengan pegawai berkaitan dengannya.
Previous
Next Post »